Tulisan Jawi dimasukkan semula dalam kurikulum
sekolah rendah yang dilaksanakan pada tahun 1970. Kandungannya dalam kurikulum
itu dinamakan Pelajaran Jawi, iaitu satu dari aspek bahasa mata pelajaran
Bahasa Malaysia. Pelajaran Jawi itu dimulakan pada darjah dua. Matlamatnya
tidak diberi. Bagaimanapun, berdasarkan kegiatan pengajaran dan pembelajaran
pada darjah lima dan enam, boleh kita katakan pelajaran itu bertujuan agar pada
akhir program itu pelajar boleh membaca dan menulis Jawi. Pada akhir program
pelajar dijangka dapat mengeja, termasuk ejaan Arab, dapat membaca bahan Jawi
yang sesuai dan dapat menulis karangan pendek dengan menggunakan tulisan Jawi
Pelajaran Jawi itu diteruskan di sekolah menengah
rendah dengan tujuan memahirkan murid menulis dan membaca Jawi. Pelajaran itu
merupakan satu daripada lima aspek bahasa mata pelajaran Bahasa Malaysia.
Pengajaran digabungjalinkan dengan aspek bahasa lain, iaitu bacaan dan
kefahaman dan karangan.
Perkara ini mula dilaksanakan pada tahun 1973. Pada tahun
ini, mengikut program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pelajaran Jawi baru
sampai di darjah empat. Sekolah menengah hanya menerima pelajar yang boleh
membaca dan menulis Jawi, hasil program Bahasa Malaysia sekolah rendah, pada
tahun 1976. Jadi, adalah sebab untuk guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah
untuk tidak mengajarkan aspek bahasa ini. Malangnya, selepas tahun 1976 hingga
kini, banyak guru Bahasa Malaysia di sekolah menengah mengabaikan pengajaran
aspek bahasa ini. Alasan utama mereka ialah murid tidak boleh membaca dan
menulis Jawi. Hal ini membayangkan pengabaian yang serupa berlaku di sekolah
rendah.
Banyak guru Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan di
sekolah menengah rendah tidak sedar bahawa mereka mesti mengajarkan pelajaran
Jawi. Segolongan mereka menganggap aspek bahasa itu tidak wajib diajarkan
kerana tidak diuji dalam peperiksaan. Sebahagian lagi memberikan alasan yang
cukup mudah, iaitu mereka sendiri tidak boleh membaca dan menulis Jawi. Keadaan
ini membayangkan mutu latihan yang mereka terima di maktab perguruan.
Bagaimanapun, pada tahun 1973 maktab perguruan di
Semenanjung memulakan program Kursus Perguruan Asas Dua Tahun (Bersepadu),
dikuti oleh Sabah dan Sarawak beberapa tahun kemudian. Dalam program itu
pelajaran Jawi merupakan sebahagian daripada kandungan sukatan pelajaran Bahasa
Malaysia (Kod 08 dan Kod 09). Dalam peperiksaan, soalan mengenai tulisan Jawi
juga dimasukkan.
Berdasarkan catatan di atas kertas, sepatutnya semua
guru lepasan maktab perguruan di Semenanjung pada tahun 1975 dan seterusnya,
menguasai tulisan Jawi. Oleh sebab kenyataan yang ada tidak dapat membuktikan
hal ini, bolehlah kita katakan catatan di atas kertas itu dilaksanakan sambil
lewa sahaja, menggambarkan sikap ‘tidak apa’ dalam kalangan ahli bahasa kita
tentang hal ini. Sikap yang sama tertayang lagi beberapa tahun kemudian apabila
tulisan Jawi langsung tidak disentuh oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji
Pelaksanaan Dasar Pelajaran ketika meneliti kurikulum Bahasa Malaysia.
Namun, sikap tidak ambil peduli ini tidak menyeluruh.
Seminat Dasar V dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 mengenai ‘Nilai-nilai
Sosial yang Penting di Sisi Pemupukan Keperibadian Malaysia’ merumuskan agar
digalakkan semula pengajaran dan penggunaan tulisan Jawi. Seminar Pendidikan
Islam Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1972 juga
membuat rumusan yang serupa.
Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa
Malaysia yang membuat perakuan supaya sistem ejaan Jawi yang ada kini dikaji
dan diperkemas, memperlihatkan sikap positif jawatankuasa yang berkenaan
terhadap tulisan Jawi.
Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada 9 hingga
11 April yang lalu menunjukkan perubahan besar sikap masyarakat kita terhadap
tulisan itu. Rumusan yang dibuat nampaknya cukup menyeluruh. Pelaksanaan
rumusan itu menjanjikan harapan baharu untuk kebangkitan tulisan Jawi. Di bawah
payung pemerintah yang cenderung melihat diri sendiri, cenderung melihat masa
lalu untuk mengenal diri dan untuk membina masa hadapan, dan mengutamakan
nilai-nilai Ilahi semula; rasanya apa-apa yang sudah dirumuskan itu segera
menjadi bukti. Kita menjangka tidak lama lagi tulisan Jawi akan menunjangi
bahasa Melayu semula. Peranannya pada masa hadapan tidaklah sama dengan
peranannya masa lalu. Kita menjangka, tidak lama lagi tulisan Jawi sebagai
tunjang, tulisan Rumi sebagai adik yang gagah, akan bersama-sama membina
bahasa, sastera, budaya dan tamadun kita.
No comments:
Post a Comment