Para sarjana
menamakan bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman dahulu sebagai bahasa Melayu
kuno dan perkembangan bahasa itulah yang mewujudkan bahasa Melayu yang kita
kenal pada hari ini. Para sarjana juga mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno
itu sudah mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya.
Tulisan itu, yang
dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera dan
tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal daripada tulisan
Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita warisi kerana daun lontar yang
dijadikan kertas tulis pada zaman itu tidak tahan lama, orang dahulu kurang
berminat menyimpannya dan kerana beberapa malapetaka sejarah seperti
pembinasaan secara sengaja yang dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala
sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di Kepulauan
ini.
Oleh sebab
kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya
itu berupa telahan, kita boleh mengatakan bahawa pada masa itu bahasa Melayu
bukan bahasa yang penting tetapi ‘hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang
200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja’.
Perkembangan bahasa
Melayu kuno boleh dianggap bermula pada abad ketujuh Masehi. Ada empat batu
bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan
Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu bersurat yang kedua
dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi; batu bersurat yang ketiga
dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi; dan batu bersurat yang
keempat ditemui di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686 Masehi juga. Kesemua batu
bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava) iaitu huruf orang Pallava di
selatan India. Bahasa yang terdapat pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh
berbeza daripada bahasa Melayu kini.
Para sarjana
menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi
dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf
Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan
agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata ‘betapa jauhnya
pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengah-tengah Pulau
Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali.’
Batu-batu bersurat
di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan tulisan yang
dibawa dari India. Batu bersirat bertarikh 1356 Masehi yang ditemui di Pagar
Ruyong dan batu bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masehi di Minye Tujuh, Aceh,
menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas.
Catatan pengembara Cina pula, seperti ITsing yang pernah singgah di Sriwijaya
pada tahun 672 Masehi, serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan
wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak
abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah maka sarjana-sarjana kita
berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan (lingua
franca) lebih awal dari kurun ketiga belas.
Profesor Ismail
Husain membuat kesimpulan: ‘Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang
pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu
sudah dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang
dalam hal-hal tertentu digunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di
daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya.’
Bagaimanapun,
kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian bahasa Melayu ketika
menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu Nisan Minye Tujuh yang
bertarikh 1380 Masehi dan masih menggunakan huruf Pallava, mungkin boleh
dianggap sebagai membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga
sudah dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus’ tetapi tidaklah
sebanding dengan mutu bahasa Batu Bersurat Terengganu, yang 83 tahun lebih awal
daripada Batu Nisan Minye Tujuh itu, lebih dekat dengan gaya bahasa Melayu kini
dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada
Batu Nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa pra-Islam.
Lebih menarik lagi
apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas yang
mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu
bahasa umum yang boleh digelar bahasa Melayu. Menurut beliau, ‘Bahasa ‘Melayu
kuno’ yang difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan sebagai
Melayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu.
Prasasti-prasasti sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas
terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan
yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan
lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada
membayangkan bahasa orang sehari-hari. Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa
pada zaman pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang
menyatu padu serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang
boleh diberi gelaran Melayu.’
Daripada
perbincangan tadi kita boleh membuat beberapa kesimpulan tentang kedudukan
bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan Jawi. Pertama, bahasa
Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga abad
kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini
bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu
tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju.
Pada tahap ini bahasa
Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan
ini, iaitu belum menjadi bahasa persatuan kerana belum dianggap standard. Pada
tahap ini juga bahasa Melayu mula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu
pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang
sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan tetapi
belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis.
Kemunculan tulisan Jawi
membuka lembaran baharu dalam sejarah bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat
dijumpai pada tahun 1899 Masehi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari
muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap
tulisan Jawi tertua di Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4
Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masehi.
Inti batu bersurat itu
ialah pengumuman sepuluh fasal ‘syarat undang-undang’. Pengumuman itu dimulakan
dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang
teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah s.a.w.
Batu itu disurat supaya
pengumuman dan perisytiharan itu sampai kepada kumpulan sasarnya. Hal ini
bermakna, sebelum tahun 1303 Masehi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah
ada orang yang mengetahui (boleh membaca) tulisan Jawi. Jika tidak, masakan si
penyurat memilih tulisan itu untuk menyampaikan mesejnya. Juga, apabila
diteliti tulisan pada batu itu, terdapat 20 daripada 29 abjad Arab dan lima
huruf ciptaan.
Walaupun abjad Arab
yang digunakan itu cuma 20, hal ini tidaklah bermakna si penyurat tidak
mengetahui huruf-huruf yang lain. Semasa menulis satu catatan ringkas, tidak
semestinya semua huruf terpakai. Oleh itu dapat kita katakan bahawa pada tahun
1303 Masehi huruf tulisan Jawi sudah lengkap, iaitu 29 huruf Arab dan lima
huruf ciptaan.
Apabila mengingat
bahawa proses menyesuaikan sesuatu tulisan untuk digunakan sebagai tulisan
bahasa lain dan proses penciptaan huruf baharu memakan masa yang panjang;
apabila mengingat bahawa tulisan Jawi itu tidak lengkap dengan serta-merta,
boleh kita katakan bahawa tulisan Jawi wujud pada akhir abad ketiga belas.
Abjad tulisan Jawi itu lengkap dan digunakan untuk menyampaikan maklumat pada
awal abad keempat belas.
Jelas pada kita bahawa
huruf Arab menjadi asas tulisan Jawi. Tulisan ini sebenarnya boleh dinamakan
sebagai tulisan Arab-Melayu tetapi orang Melayu lebih suka menamakannya tulisan
Jawi. Kata jawi berasal daripada istilah Arab al-Jawah. Sumber-sumber Arab
sebelum abad keempat belas Masehi menunjukkan bahawa orang Arab menggelar semua
bangsa di Kepulauan Melayu ketika itu, terutamanya bangsa-bangsa di Sumatera,
sebagai Jawi atau al-Jawah. Tidak syak lagi daripada kata inilah kemudian
tercipta ungkapan beras jawi dan masuk Jawi.
Beras jawi ialah beras
biasa (bukan beras pulut). Nasi daripada beras ini menjadi makanan utama semua
bangsa di Kepulauan Melayu. Hal ini menunjukkan satu sifat umum mereka dari
satu sudut. Masuk Jawi, kadang-kadang disebut juga masuk Melayu, dari segi
lahiriahnya bermakna berkhatan tetapi takrif sebenarnya ialah memeluk agama
Islam. Dengan kata lain, orang Arab menggelar semua penduduk di Kepulauan
Melayu yang sudah memeluk agama Islam sebagai Jawi atau al-Jawah.
Makna kata ini
memperlihatkan penyataan berbagai-bagai bangsa melalui satu agama sesuai dengan
tuntutan agama itu sendiri. Dengan ini jelas pula pada kita akan sebab bahasa
Melayu dinamakan juga bahasa Jawi dan tulisan bahasa itu dinamakan tulisan
Jawi. Bahasa Jawi dan tulisan Jawi itu ialah bahasa dan tulisan semua penduduk
Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam. Dengan ini juga jelas pada
kita bahawa Islam dan mereka yang menyampaikan risalahnya melakukan peranan
utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa umum, bukan bahasa satu
bangsa lagi tetapi bahasa semua bangsa atau bahasa persatuan, dengan tulisan
Jawi sebagai tulisan tunggal mengikat dan menyatukan bahasa-bahasa daerah ke
dalam satu golongan yang disebut bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu
mula menjadi bahasa baku apabila penduduk Kepulauan Melayu menerima Islam dan
menerima abjad Arab sebagai tulisan bahasa Melayu.
Lebih jauh daripada
itu, Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas berkata: ‘Konsep Jawi yang
merangkum pelbagai bangsa itu sebagai satu berdasarkan penyatupaduan bahasa
Melayu sebagai bahasa umum melalui alat satu tulisan yang sama terdapat di
mana-ana dalam kalangan bangsa Melayu-Indonesia inilah juga salah satu unsur
kebudayaan yang menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan faham kebangsaan
dalam peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.’
Penggunaan tulisan Jawi
sebagai tulisan bahasa Melayu menolong bahasa itu menjadi bahasa pengantar dan
bahasa ilmu pengetahuan di institusi pendidikan Islam seperti masjid, surau dan
pondok. Bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi bahasa dan tulisan rasmi kerajaan
Melayu-Islam, iaitu Samudera-Pasai (1280 – 1409 Masehi), Melaka (1409 – 1511
Masehi), Aceh (1511 – 1650 Masehi) dan Johor-Riau (1650 – 1800 Masehi). Kitab
agama dan hasil kesusasteraan pada zaman ini menggunakan bahasa Melayu
bertulisan Jawi.
Hikayat Raja-raja
Pasai, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Syair Perahu, Rubai Hamzah Fansuri,
Syarab al-’Asyikin, Bustanus Salatin, Bustanul Katibin, Gurindam Dua Belas dan
Tuhfat an-Nafis ialah karya contoh daripada sekian banyak hasil kesusasteraan
Melayu yang menggunakan tulisan Jawi. Hasil kesusasteraan ini sangat tinggi
nilainya. Malah, Syair Perahu dan Rubai HamzahFansuri karya Hamzah Fansuri
(1550 – 1600 Masehi) dan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji (1809 – 1870
Masehi) sukar ditandingi hingga kini.
Kenyataan ini
menunjukkan tulisan Jawi adalah praktis. Selama beberapa abad tulisan Jawi
berupaya menjadi tulisan tunggal mengiringi bahasa Melayu sebagai bahasa
perantaraan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi pemerintahan, bahasa ilmu
pengetahuan dan bahasa kesusasteraan.
Tidaklah dapat
disangkal lagi bahawa pengaruh Islam dan tulisan Jawi memungkinkan bahasa
Melayu menjadi bahasa ilmu. Perkembangan ini memungkinkan pula bahasa Melayu
menerima beribu-ribu kosa kata Arab, termasuk istilah dalam bidang falsafah
yang dianggap sebagai ilmu duniawi yang tertinggi. Bahasa Arab itu bukan
sekadar menambah perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi memberikan jiwa
baharu terhadap kata-katanya. Tentang hal ini, Abdul Rahman Rukaini menulis:
‘Dari sudut
pandangan Islam, perkataan langit, bumi, bulan, bintang, gunung, sungai (tidak
semestinya kata Arab) dan sebagainya bukan sahaja memberikan erti kejadian alam
atau benda yang telah dijadikan tetapi juga memberikan erti siapa yang
menjadikan dan untuk siapa dijadikan. Jadi jiwa bangsa Melayu yang sebelumnya
kuat dipengaruhi oleh faham dogmatis yang tahayul telah bertukar menjadi jiwa
yang rasional lagi intelektual. Penerimaan itu bukan setakat itu sahaja tetapi
melibatkan penerimaan hakikatnya sekali gus. Maka itulah yang dilaksanakan
dalam sistem pendidikan tradisi (zaman Islam di Alam Melayu), iaitu menerapkan
jiwa kata-kata itu dalam kehidupan sehari-hari dan hal ini menjadi asas
pembentukan pandangan hidup mereka.’
Bahasa dan tulisan
yang mempunyai jiwa yang utuh tidak akan mudah mengalah kecuali bangsa yang
memiliki tulisan itu sendiri meracunnya. Demikianlah juga halnya dengan bahasa
Melayu dan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tetap berdaulat pada peringkat awal
konteks Kepulauan Melayu dengan kuasa-kuasa Barat. Warisan sejarah yang masih
dapat dibaca di perpustakaan luar negara menunjukkan surat izin berniaga dan
perjanjian antara raja-raja Melayu dengan penjajah Barat menggunakan bahasa
Melayu dan tulisan Jawi.
Abjad Jawi yang
sebahagian besarnya berasal daripada abjad bahasa Arab (bahasa al-Quran) itu
pernah menolong mengurangkan perbezaan sebutan dalam kalangan penutur bahasa
Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana Islam menyuruh penganutnya membaca
al-Quran dengan betul (irab). Imam sembahyang juga dituntut supaya terdiri
daripada qari atau orang yang terbaik bacaan al-Qurannya. Melalui ilmu tajwid,
antara lain, ditegaskan cara mengeluarkan bunyi huruf dengan betul. Oleh sebab
semua huruf hija’iyah al-Quran itu digunakan dalam tulisan Jawi, mubaligh
dahulu melafazkannya dengan sebutan yang betul dan tetap. Khabar diucapkan
/xabar/, ‘ramai’ diucapkan /ramai/ dan kata yang seharusnya diucapkan /a/ tetap
diucapkan demikian dan bukan /e/.
Oleh sebab
kedudukan mereka dipandang tinggi ketika itu, sikap mereka diteladani oleh
penutur lain. Hal ini menyebabkan pengucapan bahasa Melayu itu agak seragam.
Malangnya, semasa kuasa-kuasa Barat menjajah Kepulauan Melayu ini, kita
dijauhkan (atau sengaja menjauhkan diri kerana takut dianggap kolot) daripada
bahasa al-Quran itu dan dijauhkan daripada ilmu tajwid. Apabila kita lupa pada
dasar tulisan itu, kita mulai menemui masalah atau sengaja menari-cari sebab
untuk berasa sukar mengucapkannya. Di sini saya turunkan keluhan seorang ahli
bahasa kita, Lutfi Abas, yang sepatutnya menjadi keluhan kita juga.
‘Izinkan juga di
sini saya menyentuh adanya segolongan orang Melayu yang mahu melafazkan alif be
te se dan yang menganggap mereka berbeza daripada orang Melayu yang lain, baik
di Malaysia sendiri atau di luar Malaysia yang melafazkan alif ba ta sa.
Golongan yang pertama beranggapan bahawa persatuan sesama Melayu biarlah
dilambangkan oleh huruf pertama sahaja, dan mulai dari huruf kedua mereka
berbeza daripada orang Melayu yang lain. (Hal ini ialah) satu kejahilan yang
merosakkan ikhwan Islam.’
‘Huruf alif bukan
sahaja lambang persatuan tetapi juga lambang kekuasaan atau kekuatan. Huruf itu
berdiri tegak. Huruf itu melambangkan pengislaman seluruh jazirah Arab, Afrika
Utara dan Andalusia. Huruf itu juga melambangkan pengislaman seluruh Nusantara.
Orang Melayu jadi terbangun daripada tidur mereka selama berabad-abad, bangkit
berdiri, mendirikan syiar Islam, dan mendirikan kerajaan Islam. Bangsa Melayu
terkenal sebagai orang yang berani mengharungi laut Nusantara dan belayar jauh
sampai ke benua lain.’
Dengan sedih saya
mengatakan di sini semangat itu kelihatan seperti pudar, dan bunyi /e/ mulai
kedengaran di mana-mana menggantikan bunyi /a/. Bunyi /e/ ialah lambang
kejahilan, kembali ke zaman jahiliah, dan tiada mempunyai semangat. Dalam ilmu
bahasa, perubahan bunyi /a/ kepada bunyi /e/ disebut proses neutralization.
Bunyi itu dilafazkan dengan menggunakan tenaga sedikit mungkin. Lidah dalam
keadaan rehat sehingga orang sedang tidur pun boleh mengeluarkan bunyi itu
tanpa disedarinya.’
Penjajahan Barat
sebagai alasan, sikap orang Melayu sendiri sebagai puncanya, lama-kelamaan
tulisan Jawi hidup segan mati tak mahu. Pada tahun 1904, satu panitia dibentuk
oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang dikenali dengan nama Panitia
Wilkinson, untuk membentuk sistem ejaan Rumi yang telah mula diperkenalkan
sedikit-sedikit sebelumnya. Panitia ini diketuai oleh H. Conway Belfield,
Pemangku Residen British, Perak; D.G. Campbell, Pemangku Residen British,
Selangor; R.J. Wilkinson, Inspektor Sekolah-sekolah Melayu. Hasilnya, ejaan
Rumi yang dinamakan Ejaan Sekolah tetapi lebih dikenali dengan nama Ejaan
Wilkinson, menjadi ejaan rasmi bagi bahasa Melayu di Malaya.
Pada bulan Januari
1954, Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang kedua di Sereban membuat
rumusan: ‘Bahawa Kongres Persuratan Melayu se-Malaya yang kedua yang bersidang
di Seremban pada 1 Januari 1954 ini, setelah mengkaji penyata tulisan Jawi-Rumi
yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Penyiasat Tulisan Jawi-Rumi itu, mengambil
keputusan sudah sepatutnya tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu
dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga asa akan menentukannya.’
Pada bulan Mac
tahun yang sama, Asas 50 mengemukakan memorandum menyokong ketetapan kongres
itu. Memorandum itu menghuraikan sebelas kelebihan tulisan Rumi dan satu sahaja
kekurangannya, serta satu sahaja kelebihan tulisan Jawi (yang dianggap
kekurangan juga) dan dua belas kekurangan tulisan Jawi.
Bagaimanapun
perkara ini diimbangi oleh Sidang Bahagian C (i), Kongres Bahasa dan Persuratan
Melayu Tanah Melayu Ketiga pada bulan September 1956. Rumusan sidang itu
diturunkan sepenuhnya:
‘Sidang Bahagian C
(i) telah mengambil ketetapan membentuk satu badan yang diberi tugas memelihara
tulisan Jawi: (a) Bagaimana cara-cara memelihara tulisan Jawi supaya kekal
hidup di Malaya ini, dan (b) Bagaimana cara-cara menyamakan ejaan tulisan Jawi
yang digunakan di Malaya dengan ejaan tulisan Jawi yang digunakan di Indonesia.
Sidang ini mengambil ketetapan memberi kuat kuasa membentuk badan tersebut
kepada Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Tanah Melayu. Lokman
Musa, Pengerusi, Sidang Bahagian C (i)’
Peristiwa-peristiwa
ini mungkin mempengaruhi penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan dan tercatatlah
ayat ini dalam akta itu: ‘Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi
dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih
dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.’
Dengan kata lain
tulisan Jawi tetap dilindungi. Bagaimanapun, sebelum tahun 1970, bolehlah kita
katakan tulisan Jawi hidup berkelana di masjid surau, pondok, di pinggir
kurikulum sekolah Melayu dan agak subur sedikit di negeri-negeri Pantai Timur
dan Utara Semenanjung.
No comments:
Post a Comment